SANDAKAN, 28 Mac 2026 – Satu lagi kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di kawasan Batu 7 di sini awal pagi tadi, menjadikan insiden kedua dalam tempoh kurang 24 jam di lokasi berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.24 tengah malam itu, seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain berhampiran kawasan Mahkamah Sandakan.
Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan yang menerima panggilan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi dan tiba dalam tempoh singkat bagi memberikan bantuan.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada kedua-dua lengan serta betis kiri. Anggota APM bertindak pantas memberikan rawatan awal di lokasi termasuk pemasangan alat sokongan (splint) serta pemantauan keadaan mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Mangsa kemudiannya berjaya dihantar ke hospital pada jam 12.57 pagi, manakala operasi keseluruhan ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 2.22 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Kejadian berulang di kawasan sama dalam tempoh singkat itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya, sekali gus menjadi peringatan agar semua pihak sentiasa berwaspada ketika memandu, khususnya dalam keadaan letih atau mengantuk.
TAMAT
