LAHAD DATU, 13 Feb – Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 23 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang lelaki warga asing kerana melakukan gangguan seksual dan merogol anak kandungnya.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 39 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan ke atasnya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan kerana melakukan gangguan seksual ke atas anaknya yang berusia 15 tahun 10 bulan ketika tarikh kejadian dengan menyentuh payudara mangsa.
Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (SOACA) 2017.
Sementara itu bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan kerana merogol mangsa.
Mahkamah mengarahkan agar tertuduh menjalani hukuman dari tarikh tangkap dan mengarahkan agar kedua-dua hukuman dijalankan secara berasingan.
Tertuduh juga diarahkan untuk menjalani kaunseling serta dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah mendengar bahawa kejadian berlaku di bilik mangsa pada 7 April 2025. Ketika sedang tidur, tertuduh telah masuk ke dalam bilik mangsa dan meraba payudara serta merogol mangsa.
Selepas kejadian, mangsa telah memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya dan ibunya telah membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan. Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital untuk pemeriksaan dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan di kawasan peribadi mangsa.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao.
TAMAT
