KENINGAU, 28 Mac – Kebakaran melibatkan kawasan lalang seluas kira-kira tiga ekar di Taman Pasir Putih, di sini, petang tadi, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba tanpa melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.09 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi seminit kemudian.
Menurut sumber, seramai sembilan anggota diketuai Penyelia Operasi, PBK I Selverinus Sixtus Geoffrey, bersama dua jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikerahkan bagi mengawal keadaan.
Pasukan tiba di lokasi pada jam 3.20 petang dan mendapati kebakaran sedang marak di kawasan lalang kering. Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan peralatan pemerap api sehingga kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.
Operasi ditamatkan pada jam 4.59 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Sementara itu, pihak bomba mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering yang boleh mempercepatkan penyebaran api.
Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam, malah boleh mengundang risiko kebakaran yang lebih besar.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan kaedah pelupusan sisa yang betul, tidak membuang puntung rokok merata-rata, serta sentiasa memantau aktiviti luar terutama melibatkan penggunaan api bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sebarang kejadian kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka boleh dilaporkan segera melalui talian kecemasan 999.
TAMAT
