KOTA KINABALU, 27 Feb – Seramai 112 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dipindahkan pulang ke negara asal masing-masing melalui pintu masuk udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sepanjang tempoh Januari hingga Februari tahun ini.
Program pemindahan itu dilaksanakan selepas kesemua tahanan terbabit melengkapkan proses perundangan di Malaysia serta melepasi tapisan dan pengesahan dokumen perjalanan oleh kedutaan negara masing-masing.
Berdasarkan rekod Depot Imigresen Negeri Sabah, kumpulan yang dihantar pulang terdiri daripada 90 lelaki dewasa dan 22 wanita dewasa.
Dari segi pecahan kewarganegaraan, warga Pakistan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 51 peratus daripada keseluruhan tahanan, diikuti Filipina (29 peratus), Vietnam (9 peratus), China (5 peratus) dan Thailand (3 peratus). Selebihnya membabitkan warganegara Laos, Amerika Syarikat dan Indonesia yang masing-masing menyumbang kira-kira satu peratus.
Pelaksanaan program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa imigresen dalam mengurus tahanan PATI secara teratur, selain memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta prosedur antarabangsa berkaitan penghantaran pulang warga asing ke negara asal.
TAMAT
