MARITIM MALAYSIA KOORDINASI PENCARIAN DUA NELAYAN HILANG, BOT DIPERCAYAI KARAM

sabahheadlines
2 Min Read

Jalie Mohamad

SANDAKAN, 30 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan sedang menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan dua nelayan yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada pemilik bot yang memaklumkan dua kru, Mohd Aswal Arman, 32, dan Akbar, 24, kedua-duanya warganegara Indonesia, tidak kembali ke pangkalan selepas keluar menangkap ikan.

Berikutan laporan itu, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu segera mengaktifkan misi CARILAMAT bagi mengkoordinasi usaha pencarian, termasuk mengenal pasti lokasi terakhir bot berkenaan.

Sebuah papan tunda dipercayai milik bot mangsa turut ditemui sebuah bot nelayan tempatan pada jarak 8.1 batu nautika utara Pulau Nunuyan ketika sedang menarik pukat. KM PERINGGI telah digerakkan ke lokasi penemuan untuk tujuan pengesahan.

Operasi pencarian turut melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM PERINGGI, Bot KILAT 33 dan Bot ADAL 14. Bantuan operasi turut disertai Bot FIC 2232 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bot PSC 66 dan RH 54 Pasukan Polis Marin (PPM) serta Bot SEALEG Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut beliau, operasi hari ini merangkumi kawasan seluas 72 batu nautika persegi, meliputi sektor penemuan papan tunda sehingga laluan pergerakan bot mangsa.

Pasukan penyelam Maritim Malaysia bersama penyelam JBPM turut dikerah ke kawasan berkenaan bagi melaksanakan pemeriksaan dasar laut dan mengesan bot yang dipercayai telah karam.

Maritim Malaysia dalam masa sama menasihatkan komuniti maritim sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, memastikan peralatan komunikasi berfungsi serta memeriksa keadaan bot sebelum turun ke laut.

TAMAT

Share This Article