RANAU, 26 Feb – Seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun dikenakan denda keseluruhan RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Ranau selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu berkaitan permohonan kad pengenalan.
Tertuduh, Mohd Safaaudin Mohd Pahalan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin bagi kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan pada 1 Oktober 2025 kira-kira jam 4.45 petang di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Ranau oleh pegawai penguat kuasa JPN Sabah dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau. Siasatan mendapati beliau telah memberikan maklumat tidak benar sebagai penganjur bagi dua permohonan kad pengenalan yang dikemukakan masing-masing pada tahun 2020 dan 2022 di pejabat berkenaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan. Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, tertuduh berdepan hukuman penjara lapan bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sabah, Nurul Shafeerah Mad Iskim bersama Pegawai Pendakwa, Anne Nur Ain Charles Abdullah.
Sementara itu, Bahagian Penguatkuasaan JPN Negeri Sabah menegaskan komitmen untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengemukakan maklumat palsu atau dokumen tidak sah dalam urusan pendaftaran negara, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
TAMAT
