KOTA KINABALU, 3 Feb – Kepimpinan tertinggi persatuan etnik Bumiputera Sabah berhimpun dalam Majlis Taklimat Khas dan Mesyuarat Khas Majlis Presiden Majlis Gabungan Etnik Bumiputera Sabah (MAGEBS) bagi memperkukuh peranan organisasi itu sebagai wadah perpaduan dan rujukan berkaitan adat serta budaya negeri.
MAGEBS yang menghimpunkan 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum dan etnik berfungsi sebagai platform masyarakat sivil dalam memelihara kepelbagaian warisan budaya, selain mengangkat suara komuniti di peringkat akar umbi.
Sesi taklimat berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mempererat hubungan antara kepimpinan etnik dan pembuat dasar melalui perbincangan dua hala yang konstruktif, berteraskan kefahaman bersama terhadap realiti dan keperluan komuniti.
Antara perkara dibentangkan ialah cadangan penubuhan Pusat Perkampungan Budaya MAGEBS yang disifatkan sebagai inisiatif berasaskan komuniti bagi pemeliharaan warisan budaya serta pemerkasaan ekonomi setempat.
Perbincangan turut menyentuh aspek pelestarian dan promosi budaya, pendidikan dan pembinaan identiti, pembangunan komuniti serta peranan MAGEBS sebagai rujukan awal dalam menangani isu sensitiviti adat dan budaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, menyifatkan sesi dialog tersebut sebagai platform bermakna dalam memupuk persefahaman serta memperkukuh kerjasama strategik demi keharmonian dan pembangunan masyarakat Sabah.
TAMAT
