Tiga Lelaki Ditahan, Disyaki Seludup Dadah Dalam Badan

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 1 Mac — Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dalam operasi berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dan penyeludupan dadah dengan modus operandi memasukkan bahan terlarang ke dalam badan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 6.30 pagi membabitkan seorang lelaki warga asing yang ditahan di pejabat BSJND IPD Sandakan.

Beliau berkata, suspek ditahan hasil tindakan Cawangan Risik bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek dipercayai memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan sendiri sebagai helah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, operasi diteruskan kira-kira jam 1 tengah hari di Kampung Sungai Obar, Batu 7, sebelum seorang lelaki tempatan ditahan atas kesalahan sama.

Katanya, pasukan operasi kemudian memperluas penugasan ke kawasan Bandar Kim Fung, Batu 4, pada jam 2.30 petang dan menahan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai menggunakan modus operandi serupa.

“Semua suspek dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan awal air kencing dan hasil pemeriksaan mendapati mereka positif Methamphetamine dan Amphetamine.

“Susulan itu ketiga-tiga mereka turut ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

ACP George berkata semua suspek kini direman dan ditempatkan di lokap IPD Sandakan sementara siasatan diteruskan.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah narkotik dan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article