TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang berperanan sebagai ‘runner’ dadah ditahan bersama lebih dua kilogram dadah jenis syabu di kawasan ladang kelapa sawit Jalan Air Panas Tiku, di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melakukan serbuan di kawasan itu, kira-kira jam 2.30 petang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau,pagi tadi.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, seorang lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang berkenaan ditahan untuk pemeriksaan awal.
Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan merampas satu beg plastik berwarna hitam yang di dalamnya terdapat dua paket plastik teh cina bertulis ‘Guanyinwang’.
Pemeriksaan lanjut mendapati plastik teh cina itu mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat lebih dua kilogram yang dianggarkan bernilai RM120,000,”katanya.
Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan ini dan hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif daripada sebarang jenis dadah.
” Semasa serbuan tersebut pihak polis telah menahan seorang lelaki dan merampas dadah disyaki dadah jenis syabu seberat 2,101.50 gram dan siasatan lanjut kita mendapati suspek yang kita tangkap ini adalah merupakan seorang lelaki warga negara asing berumur 54 tahun..
“Siasatan lanjut masih kita teruskan dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan reman ke atas suspek ini masih lagi berjalan sehingga 6 Mac dan setakat ini siasatan kita menunjukkan bahawa dadah yang dirampas ini dibawa masuk ke daerah Tawau daripada daerah luar….tambahnya.
