SANDAKAN, 22 OGOS Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.53 malam itu, mangsa yang dipercayai pekerja kontraktor elektrik ditemui masih berada di atas tiang elektrik ketika pasukan bomba tiba di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebelum tujuh anggota BBP Sandakan digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seorang mangsa berada di atas tiang elektrik dipercayai terkena renjatan ketika kerja pemasangan tiang dijalankan.
“Operasi menyelamat hanya dijalankan selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian membantu menurunkan mangsa dari tiang menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.
“Pegawai perubatan KKM yang menjalankan pemeriksaan di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut membabitkan lima anggota Sabah Electricity, dua anggota PDRM dan dua anggota KKM itu tamat sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
TAMAT
