“BARAH SENYAP ” PALA’U : ADUN SILAM SERU TINDAKAN SEGERA

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 20 JULAI – Isu komuniti Pala’u yang berdepan masalah pendidikan tercicir, gelandangan, penyalahgunaan dadah dan penglibatan kanak-kanak di jalanan perlu ditangani menerusi pendekatan menyeluruh bukan lagi secara bermusim atau bersifat sementara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata isu berkenaan kini menjadi cabaran sosial yang semakin membimbangkan di Lahad Datu dan perlu ditangani melalui gabungan strategi pendidikan, ekonomi, kebajikan serta keselamatan.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai “barah senyap” yang bukan sahaja menjejaskan masa depan generasi muda komuniti terbabit malah memberi kesan kepada imej bandar serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke- 17 pada Isnin, Mohd Yusof berkata kerajaan perlu beralih daripada pendekatan ad hoc kepada pelan tindakan berstruktur yang mempunyai sasaran jelas.

Beliau mengemukakan lima cadangan utama termasuk penubuhan sekolah transisi dan hab literasi bagi memastikan kanak-kanak komuniti Pala’u mendapat pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M) selain pendedahan pendidikan sivik.

Katanya, pendekatan pendidikan penting bagi mengelakkan generasi muda terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan keciciran.

“Kanak-kanak ini tidak boleh dibiarkan membesar tanpa akses kepada pendidikan dan kemahiran. Mereka perlu diberi laluan untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Selain itu beliau turut mencadangkan pelaksanaan program TVET mikro maritim dengan memanfaatkan kemahiran semula jadi komuniti Pala’u dalam bidang laut termasuk latihan perikanan moden, akuakultur, navigasi dan kraf berkaitan industri maritim.

Mohd Yusof turut mencadangkan pewujudan profil digital berpusat bersama agensi keselamatan termasuk ESSCOM dan Jabatan Imigresen bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai komuniti berkenaan termasuk membezakan antara komuniti tempatan dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Dalam aspek penempatan pula beliau mencadangkan pembangunan kampung air terancang yang dilengkapi kemudahan asas seperti sanitasi, kesihatan dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko penyakit serta pencemaran kawasan pesisir.

Beliau turut menggesa penubuhan pusat intervensi khas dan pasukan petugas gelandangan pesisir dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membantu golongan yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan.

Menurutnya, penyelesaian terhadap isu Pala’u tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut penguatkuasaan sebaliknya perlu mengambil kira aspek kemanusiaan, pendidikan dan peluang ekonomi.

“Kerajaan perlu melihat isu ini secara menyeluruh. Setiap individu perlu diberi peluang untuk berubah dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Share This Article