SEMPORNA, 15 MEI– Operasi bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Semporna (MDS) ke atas beberapa resort di daerah ini membawa kepada pengeluaran 15 kompaun bernilai RM10,000 serta penahanan seorang lelaki tempatan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, operasi itu dijalankan bagi memeriksa tahap pematuhan premis terhadap syarat pelesenan dan peraturan pengoperasian yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, sebanyak enam resort di kawasan daratan sekitar Semporna diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesalahan berkaitan lesen dan pengoperasian premis, manakala MDS mengeluarkan 15 kompaun melibatkan jumlah keseluruhan RM10,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 23 tahun turut ditahan selepas disyaki memiliki haiwan eksotik serta daging hidupan liar tanpa permit sah.
Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar bagi tindakan lanjut.
Operasi itu membabitkan 29 pegawai dan anggota daripada IPD Semporna serta MDS.
