28 AHLI SINDIKET SCAM DISERAH KEPADA IMIGRESEN UNTUK PENGUSIRAN

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 16 MEI – Polis menyerahkan 28 warga asing yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pusat panggilan penipuan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses pengusiran selepas mereka didenda oleh Mahkamah Majistret Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua suspek terdiri daripada 27 warga China termasuk seorang wanita serta seorang wanita warga Vietnam.

Menurutnya, mereka ditahan dalam operasi khas pada 6 Mei lalu sebelum didakwa di mahkamah pada 14 Mei atas pertuduhan berkaitan jenayah terancang.

“Sindiket ini dipercayai menjalankan penipuan atas talian dengan menyasarkan mangsa dari Korea melalui platform komunikasi digital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 setiap seorang atau penjara antara dua hingga empat bulan jika gagal membayar.

Katanya, semua suspek telah melunaskan denda membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM140,000 sebelum diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut termasuk pengusiran ke negara asal.

Share This Article