18 TONG PETROL DIPERCAYAI UNTUK DISELEWENG DIRAMPAS DI PITAS

sabahheadlines
1 Min Read

KUDAT, 16 MEI – Sebanyak 3,600 liter petrol dipercayai cuba diseleweng ditemukan terapung di muara sungai Kampung Pagason, Pitas menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu), kelmarin.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, rampasan membabitkan 18 tong drum plastik itu diserahkan oleh Kompeni C Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kudat untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua tong berkapasiti kira-kira 200 liter setiap satu ditemukan tanpa pemilik di kawasan muara sungai berkenaan.

“Kegiatan ini dipercayai dijalankan di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain menyembunyikan aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM7,164 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nazatul Shima turut menghargai kerjasama PGA dalam menjayakan operasi bersepadu itu dan menegaskan KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan.

Share This Article