EMPAT PUSAT AUTISME SABAH AKAN DITUBUH-HAJIJI

sabahheadlines
3 Min Read

KENINGAU,18 JULAI- Empat pusat autisme akan ditubuhkan di negeri secara berfasa termasuk Tawau,Sandakan, Kudat dan Beaufort.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Nor berkata, ia akan bermula pada tahun ini.

“Pada masa ini, pusat seumpama telah diwujudkan di Sembulan dan beroperasi dengan menempatkan kanak-kanak autisme di Kota Kinabalu,” katanya ketika merasmikan The Neurohope Programme 2026 di Dewan SK Bingkor di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Pusat ini, katanya, bakal menyediakan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanakkanak autisme berusia tiga hingga tujuh tahun.

Hajiji berkata kerajaan akan terus menyokong usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam memperluaskan akses kepada pendidikan, intervensi awal dan sokongan kepada anakanak berkeperluan pendidikan khas.

Kerjasama ini melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri termasuk sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan, katanya.

“Tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukan sebanyak RM173.56 juta bagi melaksanakan agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Dalam konteks kerajaan negeri, kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan termasuk kebajikan orang kelainan upaya, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan golongan daif serta miskin .. Untuk ini, pelbagai program kita laksanakan termasuk menerusi Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat pada tahun ini,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, antara program yang disediakan termasuklah Program Bantuan Kebajikan yang meliputi Skim Bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, Skim Bantuan Anak Yatim serta Program Bantuan Makanan Kepada Golongan Daif dan Miskin serta menambah Pusat Autisme Sabah
(PAUS).

Mengenai The Neurohope Programme, ketua menteri berkata, ia merupakan satu
gerakan komuniti yang menghimpunkan bidang pendidikan, kesihatan, kerajaan,
pertubuhan masyarakat, ibu bapa dan komuniti dalam satu matlamat yang sama, iaitu membina masyarakat yang lebih memahami dan menyokong perkembangan setiap anak.

“Saya menyeru kepada ibu bapa, guru-guru, pemimpin masyarakat, dan orang ramai untuk terus memanfaatkan peluang ini bagi mendalami ilmu, berkongsi pengalaman, dan berganding bahu membina ekosistem sokongan yang holistik.

“Kita sedar bahawa sokongan bukan sahaja datang daripada keluarga terdekat malah memerlukan dokongan padu daripada komuniti, pakar kesihatan, dan pertubuhan bukan kerajaan,”

Ketua menteri berharap The Neurohope Programme ini diperluaskan agar menjadi satu gerakan yang mampu memberi manfaat dan inspirasi kepada lebih banyak sekolah, lebih banyak komuniti dan lebih banyak daerah di seluruh Sabah.

Share This Article