MASJID UMS SANDAKAN DIRASMIKAN, MERCU TANDA BAHARU HAB PENDIDIKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 4 Mac – Masjid Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan kini menjadi mercu tanda baharu Hab Pendidikan di sungai manila sandakan selepas dirasmikan petang kelmarin.

Masjid bernilai RM5 juta yang mampu menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu dibina hasil kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UMS. Kemudahan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kampus, malah turut dimanfaatkan oleh penduduk kampung berhampiran.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Bin Haji Aman.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Abdul Rahman Dahlan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Megat Sany Megat Ahmad Sulian; Naib Canselor UMS, Kassim Mansor; Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila, Hazem Mubarak; serta Mufti Negeri Sabah, Bungsu Aziz Jaafar.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata pembinaan masjid tersebut memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan UMS dalam aspek perkongsian ilmu, pemindahan kepakaran, penyelidikan serta khidmat sosial yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah, khususnya masyarakat di Sandakan.

Beliau turut memaklumkan bahawa UMS melalui Pusat Islamnya telah dilantik sebagai Ejen Pungutan dan Agihan Zakat bagi Majlis Ugama Islam Sabah, sekali gus membolehkan pelbagai bantuan disalurkan kepada pelajar dan kakitangan termasuk elaun sara hidup, bantuan yuran pengajian serta bantuan khas Ramadan dan Aidilfitri.

Dengan siapnya masjid ini, UMS Sandakan terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah komited dalam pembangunan sahsiah serta kesejahteraan komuniti setempat.

Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah, turut meluangkan masa berbuka puasa bersama warga kampus sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah di Masjid Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah Kampus Sandakan.

Oleh : Jalie mohamad

Share This Article