LELAKI CUBA LARIKAN DIRI SEBELUM DITAHAN POLIS, SYABU DIRAMPAS

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 9 Mac – Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri ketika terserempak dengan pasukan polis dalam rondaan pencegahan jenayah akhirnya gagal apabila dia berjaya ditahan bersama sejumlah dadah yang dipercayai jenis syabu di Kampung Melati Burut, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam ketika anggota dari Balai Polis Bombalai menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, anggota polis yang membuat rondaan terserempak dengan seorang lelaki yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sebelum bertindak menahannya untuk pemeriksaan lanjut.

“Suspek bertindak cuba melarikan diri sebaik dihampiri anggota polis, namun berjaya diberkas selepas berlaku sedikit pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemui empat paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar kira-kira 1.20 gram.

Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan warga asing berusia lingkungan 40-an turut mengaku terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.

Katanya, lelaki berkenaan bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bagi siasatan lanjut.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” jelasnya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.

ACP Jasmin menegaskan pihak polis akan terus memperhebat rondaan serta operasi bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan.

TAMAT

Share This Article