KUALA PENYU, 30 MEI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Linting, dekat sini diteruskan hari ini melibatkan pelbagai agensi penyelamat serta bantuan penduduk kampung dan nelayan tempatan.
Mangsa dikenali sebagai Jason Alexander, berbangsa Kadazan, dilaporkan hilang pada kira-kira jam 4.50 petang semalam ketika mandi bersama ahli keluarganya di kawasan pantai berkenaan.
Menurut laporan operasi, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Penyu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.56 petang daripada seorang pengadu, Mohd Zainol Omsin.
Usaha pencarian segera dijalankan namun mangsa masih belum ditemui sehingga operasi ditangguhkan pada sebelah malam.
Hari ini, operasi SAR memasuki hari kedua dengan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka pada jam 8.15 pagi selepas anggota daripada pelbagai agensi tiba di lokasi.
Taklimat operasi dan pembahagian tugas dilakukan pada jam 9 pagi sebelum pasukan penyelamat memulakan pencarian di kawasan pesisir pantai dan laut.
Pasukan SAR dibahagikan kepada beberapa kumpulan melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada jam 12.48 tengah hari, anggota APM dibahagikan kepada tiga pasukan iaitu Pasukan A yang melakukan pencarian di pesisir pantai sebelah kanan, Pasukan B di pesisir pantai sebelah kiri manakala Pasukan C menjalankan operasi pencarian di laut menggunakan bot.
Operasi turut menerima bantuan tambahan daripada anggota APM daerah lain, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berangkok, Unit Dron PDRM serta Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Gimba.
Bagaimanapun keadaan cuaca buruk termasuk hujan lebat dan angin kencang menyebabkan operasi SAR ditangguhkan sementara pada jam 5.13 petang.
Pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh beberapa anggota APM pada sebelah petang sebelum semua agensi diarahkan untuk menghentikan operasi pada jam 7 malam.
Pemantauan kawasan pantai sepanjang malam diteruskan oleh anggota SRS Kampung Gimba manakala operasi SAR dijadualkan disambung semula esok.
Sepanjang operasi hari ini seramai 71 anggota dan sukarelawan terlibat termasuk seorang pegawai dan 10 anggota APM, seorang pegawai dan lapan anggota PDRM, seorang pegawai dan enam anggota JBPM, empat nelayan kampung serta kira-kira 40 orang awam.
Difahamkan mangsa kali terakhir dilihat memakai baju-T hijau dan seluar pendek biru.
