KOTA KINABALU, 31 MEI – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menyeru rakyat Sabah agar terus memelihara keharmonian, perpaduan dan warisan budaya yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026.
Dalam perutusan khas sempena perayaan itu Tun Musa berkata, Kaamatan yang disambut setiap 30 dan 31 Mei bukan sahaja melambangkan rasa kesyukuran terhadap hasil tuaian malah mencerminkan kekayaan warisan budaya serta semangat kebersamaan rakyat Sabah yang diwarisi turun-temurun.
Beliau berkata, walaupun peranan penanaman padi dalam kehidupan masyarakat kini berubah seiring pemodenan, nilai-nilai kesyukuran, saling menghormati dan perpaduan yang menjadi asas sambutan Kaamatan tetap kekal relevan.
“Pesta Kaamatan yang disambut pada setiap 30 dan 31 Mei merupakan antara perayaan kebudayaan yang amat bermakna di Negeri Sabah.
Berakar daripada rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah ruah serta tradisi yang diwarisi turun-temurun, perayaan ini melambangkan kekayaan warisan budaya, semangat kental dan perpaduan rakyat Sabah,” katanya.
Tun Musa berkata, kepelbagaian masyarakat Sabah yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik dan pelbagai subetnik merupakan kekuatan terbesar negeri ini sekali gus menjadikan Kaamatan sebagai perayaan yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Menurut beliau, keharmonian yang dinikmati rakyat Sabah sejak sekian lama perlu terus dipertahankan dengan menolak sebarang unsur perpecahan, fahaman ekstrem serta sentimen sempit yang boleh menggugat perpaduan dan muhibah.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan memastikan pembangunan negeri dinikmati secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana komuniti khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, aspek pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan infrastruktur, capaian digital dan peluang ekonomi perlu terus diberi perhatian bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan secara adil dan saksama.
Beliau turut mengingatkan bahawa generasi muda perlu diperlengkapkan dengan ilmu pengetahuan, disiplin, daya tahan serta nilai-nilai murni bagi membolehkan mereka menyumbang secara bermakna kepada kemajuan Sabah pada masa hadapan.
Selain itu, Tun Musa menekankan pentingnya usaha memelihara tradisi budaya, bahasa, seni dan adat resam masyarakat pribumi yang menjadi identiti serta khazanah berharga negeri ini.
“Menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan ini terus subur, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, sempena sambutan Kaamatan tahun ini, rakyat Sabah diseru untuk terus mensyukuri nikmat yang dikurniakan serta memperkukuhkan semangat perpaduan, kasih sayang dan keprihatinan sesama masyarakat demi memastikan Sabah terus aman, maju dan makmur.
Tun Musa dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima Faridah Haji Tussin turut mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2026 kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan.”
