SANDAKAN, 30 MEI – Empat Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Sandakan hari ini tampil membuat laporan di balai polis sandakan berhubung satu hantaran di media sosial yang dipercayai mengandungi unsur fitnah, hasutan serta berniat jahat terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.
Hantaran tersebut yang dimuat naik melalui akaun Facebook bernama Aqubahni Acp telah dikesan pada 28 Mei 2026 sekitar jam 9.00 pagi. Kandungan hantaran berkenaan memaparkan kenyataan berbentuk provokasi serta beberapa gambar TYT Sabah yang disertakan dengan tulisan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan imej serta reputasi beliau sebagai Ketua Negeri Sabah.
Selain itu, hantaran tersebut turut mengungkit pelbagai isu dan dakwaan lama yang telah melalui proses perundangan dengan tujuan dipercayai untuk membangkitkan sentimen kebencian, mencetuskan persepsi negatif rakyat serta menghasut masyarakat terhadap institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Tindakan sedemikian disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sabah.
Penyebaran maklumat berunsur fitnah dan hasutan melalui media sosial juga boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negeri yang perlu dihormati dan dipelihara.
Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tujuh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sandakan turut menyeru orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah, tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa menghormati institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah demi mengekalkan keamanan, perpaduan dan kestabilan negeri.
