ESSCOM capai KPI operasi lebih awal, rampasan lebih RM1.7 juta

sabahheadlines
3 Min Read

Lahad Datu, 13 Okt: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) operasi lebih awal bagi tahun ini dengan merekodkan nilai rampasan berjumlah RM1.77 juta dan 140 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang sembilan bulan pertama 2025.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, setakat 26 September 2025, sebanyak 13 siri operasi telah dilaksanakan termasuk Operasi Bersepadu, Op Gasak Darat, Op Khas dan Op Gasak Laut sekali gus mencapai KPI tahunan yang ditetapkan agensi.

“Kemampuan ESSCOM mencapai KPI operasi lebih awal bukan bermakna kita akan mengendurkan operasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone).

ESSCOM akan terus melaksanakan operasi khas bagi memastikan keselamatan di pantai timur Sabah terjamin,” katanya ketika berucap dalam Perbarisan ESSCOM Siri 2/2025 di sini, hari ini.

Antara kejayaan utama yang direkodkan termasuk
Op Khas 1 (28 Jan, Lahad Datu): tiga warga Filipina ditahan dengan rampasan rokok, tembakau, tiga bot enjin sangkut dan satu kenderaan bernilai RM871,854.40.

Ini termasuk Op Khas (10 Jun, Kunak)dua suspek warga Filipina dipercayai anggota ASG Sulu Base ditahan di bawah Akta Imigresen, Op Khas 3 (12–13 Jun, Semporna): 56 individu ditahan dengan rampasan narkotik, barang kawalan, bot dan enjin bernilai RM63,987.50.

Sementara itu Op Tiris (16–17 Jun, Tawau): tiga tangkapan dengan rampasan RM333,440.00,
Op Bersepadu (24–26 Jul, Kalabakan): 40 tangkapan, rampasan RM22,000.00;
Op Gasak Laut Siri 1 (11 Ogos, Semporna): 14 tangkapan bawah Akta Imigresen, sembilan disaman bawah Akta JPDS dan Op Sanggah (14 Ogos, Lahad Datu): dua lelaki ditahan bersama 74 metrik tan minyak sawit mentah (CPO) bernilai RM476,000.00;

Operasi- operasi lain ialah Op Gasak Laut Siri 2 (18 Ogos, Semporna): 14 lelaki ditahan bawah Akta Imigresen dan
Op Bersepadu (18 Sept, Lahad Datu): enam tangkapan bawah Akta Imigresen.

Katanya, pencapaian itu membuktikan semangat dan profesionalisme tinggi warga ESSCOM dalam memikul tanggungjawab menjaga keselamatan Sabah Timur.

Pada masa sama, semua maklumat perisikan mesti terus dikumpul dan dianalisis bagi memastikan operasi tertumpu di kawasan panas seluruh ESS Zone,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan agar program Gerak Saraf Perang Saraf (GSPS) di bawah kelolaan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM diperkasakan supaya semangat patriotisme dan nilai jati diri masyarakat Sabah Timur terus dipupuk.

“Ingatlah, masyarakat adalah radar bergerak ESSCOM. Nilai jati diri dan semangat patriotisme masyarakat penting bagi membanteras sebarang ancaman yang mendatang,” katanya.

Turut hadir di majlis Itu Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO) ESSCOM
Datuk Dr Jamaluddin Bin Mohd Ali dan Timbalan Komander ESSCOM merangkap Ketua Staf Bahagian Tadbir dan Logistik ESSCOM Brigadier Jeneral Mohamad Ismail bin Kamarudin.

TAMAT

Share This Article