KOTA KINABALU (28 JANUARI): Ketiadaan kerjasama antara kakitangan awam menghalang pelaksanaan pembangunan di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib berkata sikap ego kakitangan itulah yang menyebabkan Sabah ketinggalan.
“Ketiadaan kerjasama antara kakitangan negeri dengan persekutuan sudah lama berlaku dan ini sudah saya alami ketika menjadi exco kesihatan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Transformasi GLC Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
James berkata, situasi itu telah wujudkan jurang yang negatif kepada pelaksanaan pembangunan di negeri ini.
Katanya, kakitangan negeri perlu berusaha menjalinkan kerjasama yang baik dengan kakitangan persekutuan.
Menurutnya, langkah itu penting kerana ia dapat memberi manfaat kepada pelaksanaan pembangunan di negeri ini.
“Jalinkan kerjasama yang baik kerana mereka (kakitangan persekutuan) memiliki peruntukan yang boleh dimanfaatkan untuj negeri ini,” katanya lagi.
Menyedari hal itulah, katanya, dia mengingatkan kementeriannya agar mewujudkan kerjasama yang baik dan erat dengan rakan sejawat daripada persekutuan.
TAMAT
