POLIS KUDAT TAHAN LELAKI, RAMPAS SYABU LEBIH 100 GRAM DALAM OP TAPIS

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT, 9 Mac – Seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat lebih 100 gram dalam satu operasi Op Tapis yang dijalankan di kawasan Simpang Kampung Tungkang, Sikuati, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Mohd Haris Haji Ibrahim, berkata tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan dua individu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik sahaja pihak polis memperkenalkan diri, salah seorang daripada lelaki terbabit cuba melarikan diri namun berjaya diberkas, manakala seorang lagi individu sempat meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 40 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap suspek turut membawa kepada penemuan bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kira-kira 101.21 gram.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

Sementara itu, Polis Daerah Kudat menegaskan komitmen untuk terus memperhebat operasi membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah turut diminta tampil membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat kepada polis.

TAMAT

Share This Article