KPDN SEMPORNA RAMPAS DIESEL, MINYAK MASAK BERNILAI LEBIH RM52,000

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 14 MEI- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna memperhebat Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) menerusi dua tindakan penguatkuasaan membabitkan rampasan barang kawalan bersubsidi di daerah ini, semalam.

Dalam kes pertama, serahan daripada Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama rampasan sebuah Toyota Hilux dan 150 liter minyak diesel yang disimpan dalam enam jeriken tanpa permit sah.

Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM322.50 manakala keseluruhan sitaan termasuk kenderaan bernilai RM50,822.50.

Sementara itu, kes kedua melibatkan serahan daripada Pasukan Polis Marin Semporna selepas menemukan 425 kilogram minyak masak paket bersama sebuah pump bot tanpa nombor pendaftaran di perairan Pulau Larapan.

Turut dirampas enjin bot 18 kuasa kuda jenama Pro Quip dan satu unit shaft propeller dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM2,165.50.

KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak terbabit dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Share This Article