LELAKI DITAHAN BERSAMA SYABU DALAM RONDAAN CEGAH JENAYAH DI TAWAU

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 14 MEI– Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam satu rondaan cegah jenayah di Jalan Abaca, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.10 malam oleh anggota Balai Polis Tawau yang sedang menjalankan rondaan Bit di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, lelaki terbabit dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah hotel sebelum anggota polis bertindak menahannya untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek telah menyerahkan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.06 gram,” katanya.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jasmin berkata, pihak polis akan terus memperhebat rondaan serta operasi bersepadu dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dan jenayah di daerah berkenaan.

Share This Article