SEMPORNA, 1 MEI- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna membuka kertas siasatan susulan penerimaan satu kes rampasan tanpa tuan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, kelmarin.
Rampasan tersebut dilaporkan berlaku di perairan Kampung Labuan Haji pada 29 April lalu kira-kira jam 6.40 petang, melibatkan 450 liter minyak petrol bersama sebuah bot kayu berwarna biru putih serta enjin sangkut jenama Tohatsu 50 kuasa kuda.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,786.50.
Menurut kenyataan KPDN, kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti sebarang elemen pelanggaran undang-undang berkaitan kawalan bekalan.
Sehubungan itu, pihak KPDN memberi peringatan tegas kepada individu dan syarikat agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan khususnya dalam urusan pengendalian dan pengedaran barang kawalan.
“Mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 122,” menurut kenyataan itu.
Bagi kesalahan pertama, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan berulang memperuntukkan denda sehingga RM3 juta.
Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta dan meningkat kepada maksimum RM5 juta bagi kesalahan seterusnya jika disabitkan kesalahan.
