PROGRAM MENEMBAK SEMPENA SAMBUTAN RASMI KE-75 TYT SABAH BERLANGSUNG TERTIB

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 12 APRIL – Program menembak sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah berlangsung dalam suasana teratur dan penuh istiadat, hari ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman yang seterusnya menyempurnakan perasmian program berkenaan. Turut hadir ialah Datuk Hj. Nizam bin DSP Hj. Abu Bakar Titingan bersama barisan pegawai kanan kerajaan negeri.

Atur cara dimulakan dengan sesi bergambar rasmi diikuti bacaan doa dan ucapan alu-aluan sebelum upacara perasmian dilaksanakan oleh Tuan Yang Terutama.

Program diteruskan dengan taklimat keselamatan sebagai persediaan kepada peserta, sebelum aktiviti menembak dimulakan melibatkan tetamu kehormat serta pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

Selain itu, majlis turut diisi dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka, di samping penyampaian cenderamata kepada tetamu kenamaan sebagai tanda penghargaan.

Turut hadir Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Hj. Asun bersama pegawai kanan daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Penganjuran program ini bukan sahaja memeriahkan sambutan rasmi ulang tahun kelahiran TYT, malah turut memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta.

Share This Article