TAWAU, 14 MEI – Seorang penganggur ditahan polis selepas dipercayai mengugut ahli keluarganya menggunakan sebilah pisau serta merosakkan harta benda dalam kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai Besar, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun dipercayai bertindak agresif selepas permintaannya mendapatkan wang RM5 untuk membeli rokok tidak dipenuhi ibunya.
Menurut beliau, suspek dikatakan menendang beberapa perabot di dalam rumah sebelum berlaku pertengkaran dengan adiknya.
“Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong daging dan bertindak merosakkan bahagian pemegang sebuah motosikal menggunakan senjata berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.30 malam di hadapan sebuah rumah di kampung terbabit.
Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda.
