MELALAP, TENOM, 31 Jan – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah memperkukuh usaha mendekati masyarakat luar bandar apabila melaksanakan Program MEKAR Komuniti di Melalap, sebagai inisiatif membantu penduduk menyelesaikan isu berkaitan dokumentasi diri.
Menerusi program berkenaan, penduduk setempat diberi penerangan dan khidmat nasihat berkaitan pelbagai perkhidmatan JPN termasuk pendaftaran kelahiran, pengenalan diri serta hal-hal berkaitan status pendaftaran penduduk.
Inisiatif itu bukan sahaja memudahkan akses masyarakat kepada perkhidmatan kerajaan, malah mencerminkan komitmen berterusan JPN Sabah dalam memastikan hak dokumentasi setiap warganegara terpelihara, khususnya bagi komuniti di kawasan pedalaman dan luar bandar.
TAMAT
