Lori 3 Tan Terbabas di Kg Purak, Pemandu Cedera Tersepit

sabahheadlines
1 Min Read

PAPAR, 31 Jan 2026 – Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di tepi jalan dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Purak, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.21 petang itu Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 12 kilometer.

Komander Operasi, PBK II Shafie Salleh berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan.

“Seorang mangsa lelaki berusia 38 tahun dilaporkan tersepit di bahagian pemandu.

Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya.

Menurut beliau, mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya.

Seramai lapan anggota BBP Papar terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan dua jentera iaitu sebuah jentera FRT dan sebuah jentera EMRS.

Operasi disahkan terkawal sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.

TAMAT

Share This Article