PAITAN, 22 Feb – Usaha memperkukuh capaian komunikasi di daerah ini dipertingkatkan menerusi penyerahan empat unit peranti satelit Starlink bagi menyokong kawasan terjejas banjir.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata peranti berkenaan disediakan oleh SabahNet Sdn Bhd, agensi di bawah kementeriannya, bagi memastikan akses internet dapat dipulihkan dengan segera terutama di lokasi kritikal.
Menurutnya, kesemua unit tersebut diserahkan kepada Pegawai Daerah Paitan, Tuan Joloning Joe Majambu untuk tujuan penyelarasan serta penempatan di kawasan yang memerlukan capaian internet secara mendesak.
Beliau berkata langkah itu penting bagi menyokong operasi pengurusan bencana, penyampaian maklumat serta urusan kebajikan mangsa agar proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
TAMAT
