KENINGAU, 3 MEI, Lima buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Takad, Apin-Apin, awal pagi tadi, mengakibatkan kerugian besar kepada penduduk terlibat.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Selverinus Sixtus Geoffrey berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan pada jam 7.06 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 18 kilometer dari balai pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba pasukan mendapati api sedang marak dan telah merebak dengan cepat, memusnahkan lima rumah tidak kekal sepenuhnya, selain menyebabkan sebuah kedai runcit separuh kekal terbakar 50 peratus dan sebuah rumah separuh kekal mengalami kerosakan 60 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan enam kenderaan iaitu dua kereta dan empat motosikal,” katanya.
Operasi pemadaman dijalankan oleh 10 anggota menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air, yang disalurkan daripada tangki jentera jenis Water Tanker serta pili bomba berhampiran.
Api berjaya dikawal pada jam 8.02 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari selepas kerja-kerja pemeriksaan dan ‘overhaul’ selesai dijalankan.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
