KOTA KINABALU, 7 OGOS– Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggesa orang ramai meningkatkan tahap kesedaran terhadap aspek keselamatan elektrik susulan 11 kes renjatan elektrik direkodkan di negeri ini dalam tempoh lima tahun sekali gus membuktikan kecuaian terhadap sistem elektrik boleh mengakibatkan kecederaan serius malah meragut nyawa.
Infografik yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menunjukkan sebanyak 11 kes renjatan elektrik direkodkan bagi tempoh 2022 hingga 6 Ogos 2026, dengan purata 2.2 kes setahun.
Mengikut trend tahunan, sebanyak tiga kes direkodkan pada 2022 masing-masing satu kes pada 2023 dan 2024, manakala tiga kes pada 2025 dan tiga kes lagi setakat 6 Ogos 2026.
Dari segi pecahan mengikut daerah, Beaufort dan Lintas masing-masing merekodkan dua kes manakala Nabawan, Sandakan, Kota Marudu, Lahad Datu, Ranau, Tawau dan Papar masing-masing mencatatkan satu kes.
Sehubungan itu, JBPM Sabah menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan peralatan elektrik yang rosak atau wayar yang terdedah, mengelakkan penggunaan soket secara berlebihan serta memastikan pendawaian rumah dan premis diperiksa secara berkala oleh juruelektrik bertauliah.
Selain itu orang ramai turut diingatkan supaya menjauhkan peralatan elektrik daripada air dan kawasan lembap, mencabut palam apabila tidak digunakan serta menyediakan alat pemadam api yang sentiasa berada dalam keadaan baik.
JBPM turut mengingatkan masyarakat agar peka terhadap tanda-tanda awal kerosakan sistem elektrik seperti wayar atau palam yang terasa panas, percikan api pada soket, bau hangit, suis atau pemutus litar (MCB) yang kerap terputus serta lampu yang malap atau berkelip.
Dalam pada itu penggunaan peralatan elektrik yang mempunyai pensijilan SIRIM, pemasangan oleh juruelektrik bertauliah dan penggantian wayar yang usang atau rosak juga disaran bagi mengurangkan risiko renjatan elektrik dan kebakaran.
JBPM Sabah menegaskan bahawa elektrik tidak memberi amaran justeru pemeriksaan serta penyelenggaraan berkala merupakan langkah terbaik bagi melindungi nyawa, keluarga dan harta benda daripada sebarang kejadian tidak diingini.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku insiden berkaitan renjatan elektrik atau kebakaran.
