Pelarasan Tarif Elektrik Sabah Bermula Februari, Subsidi Kerajaan Terus Dikekalkan

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 31 Jan – Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) akan melaksanakan pelarasan kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari 2026 selaras pelaksanaan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Menurut SE, langkah berkenaan diambil bagi memastikan kelangsungan sistem pembekalan elektrik yang stabil dan mampan, susulan peningkatan kos operasi, penyelenggaraan serta keperluan menaik taraf infrastruktur tenaga. Pelaksanaan semakan itu juga adalah selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Dalam pelarasan terbaharu ini, kadar purata tarif asas disemak kepada 39.70 sen bagi setiap kilowatt jam berbanding kadar sebelum ini. Namun begitu, kos sebenar pembekalan elektrik dianggarkan lebih tinggi, dengan jurang perbezaan masih ditanggung melalui bantuan subsidi Kerajaan Persekutuan berjumlah RM849 juta bagi tempoh dua tahun bermula 2026.

SE memaklumkan impak semakan tarif terhadap pengguna domestik adalah terhad, khususnya bagi isi rumah berpenggunaan rendah dan sederhana. Golongan berpendapatan rendah yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih pula terus menerima bantuan rebat bulanan. Bagi sektor perniagaan kecil dan perusahaan mikro serta sederhana, struktur perlindungan penggunaan elektrik dikekalkan bagi mengurangkan beban kos operasi.

Selain itu, beberapa insentif sedia ada turut diteruskan termasuk diskaun penggunaan waktu luar puncak kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah, serta potongan khas kepada rumah kebajikan, institusi pendidikan dan rumah ibadat. Kerajaan Negeri juga memperkenalkan insentif baharu kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan sebagai sokongan kepada keselamatan makanan negeri.

SE menegaskan pelarasan tarif ini penting bagi membolehkan pelaburan berterusan dalam penyelenggaraan rangkaian elektrik, mengurangkan gangguan bekalan serta menyokong pembangunan sistem grid yang lebih cekap dan berdaya tahan.

Pengguna digalakkan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah serta mendapatkan maklumat lanjut berkaitan struktur tarif dan anggaran bil elektrik melalui saluran rasmi Sabah Electricity dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

TAMAT

Share This Article