sh@ Jalie Mohamad
KOTA KINABALU, 6 Ogos 2025 –Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, menyelar kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang berjanji akan melupuskan hutang pendidikan termasuk pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah sekiranya parti itu kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Jelas Datuk Jaffari, kenyataan tersebut bersifat populis dan memperlihatkan keputusasaan Parti Warisan dalam menagih sokongan rakyat setelah gagal menunjukkan prestasi sebenar semasa diberi peluang mentadbir negeri sebelum ini.
Persoalannya mudah mengapa perkara ini tidak dilaksanakan ketika Warisan memegang kuasa antara 2018 hingga 2020. Pada masa itu, Shafie adalah Ketua Menteri dan Yayasan Sabah berada sepenuhnya di bawah pentadbiran beliau, “katanya dalam satu kenyataan media di sini kelmarin
Beliau menyifatkan janji tersebut sebagai cubaan memanipulasi emosi rakyat, khususnya golongan muda yang sedang berdepan tekanan kewangan. Menurutnya, janji sebegini sering kali muncul menjelang pilihan raya, namun tiada satu pun yang ditunaikan apabila berkuasa.
Rakyat Sabah sudah serik dengan politik kosmetik seperti ini. Jangan gadaikan masa depan anak-anak Sabah hanya kerana retorik politik.
Datuk Jaffari turut mempersoalkan keupayaan Warisan melaksanakan pelupusan hutang yang melibatkan jumlah besar tanpa perancangan kewangan yang jelas.
Belum ada satu pun kerajaan negeri di Malaysia yang mampu melupuskan hutang PTPTN sepenuhnya. Di Sarawak, hanya 30% pinjaman ditanggung kerajaan. Jadi dari mana Warisan mahu ambil dana untuk lunaskan semuanya.
Beliau menyatakan bahawa janji ini berisiko membebankan kewangan negeri dan mengganggu pelaksanaan dasar pembangunan penting seperti infrastruktur luar bandar, pendidikan teknikal, kesihatan dan pembasmian kemiskinan.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah dan sedang melaksanakan inisiatif pendidikan yang lebih pragmatik dan bertanggungjawab.
Tamat
