JBPM SABAH NASIHAT JAUHI CERUN BERISIKO KETIKA HUJAN LEBAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,22 Oktober – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan cerun berisiko ketika hujan lebat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk tanah runtuh.

Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga khususnya ketika hujan lebat berterusan dan apabila berada berhampiran kawasan cerun.

Antara faktor utama yang boleh menyebabkan tanah runtuh ialah hujan lebat berterusan yang mengakibatkan tanah menjadi tepu air selain keadaan cerun yang curam atau tidak stabil.

Aktiviti pembangunan seperti pemotongan cerun, kerja tanah dan sistem saliran yang tidak terkawal juga boleh meningkatkan risiko kejadian. Hakisan serta penebangan pokok pula berpotensi mengurangkan sokongan akar terhadap struktur tanah.

Antara tanda awal tanah runtuh yang perlu diberikan perhatian termasuk kemunculan rekahan baharu pada tanah, jalan raya atau dinding bangunan, batu-batu kecil yang mula jatuh dari cerun serta keadaan pokok, tiang atau pagar yang tiba-tiba menjadi senget.

Perubahan aliran air, air yang keluar dari cerun secara luar biasa serta bunyi retakan atau pergerakan tanah juga boleh menjadi petunjuk kepada kemungkinan berlakunya tanah runtuh.

Kejadian tanah runtuh bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan rumah dan bangunan malah berpotensi menghalang atau memutuskan laluan jalan raya serta mengancam keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cerun.

Selain itu, runtuhan tanah yang menyekat aliran sungai boleh meningkatkan risiko banjir di kawasan tertentu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memantau keadaan cuaca dan persekitaran, menjauhi kawasan berisiko serta menggunakan laluan alternatif sekiranya jalan raya terjejas atau ditutup.

Mereka juga perlu mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk berpindah segera sekiranya diarahkan dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sekiranya berlaku kecemasan orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Kerjasama semua pihak dalam mematuhi langkah keselamatan dan mengambil tindakan awal amat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kehilangan nyawa.

Share This Article