KOTA KINABALU (31 DISEMBER): Jabatan Hal Ehwal Agama Islam perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap beberapa individu yang berzikir di tanah perkuburan pada waktu malam.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah, Haji Mohd Jali Nordin berkata video yang tular di media sosial itu perlu ditangani segera.
“Siasat perkara ini dan jika benar berlaku di Sandakan ia tidak harus dibiarkan dan didiamkan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengundang ulangan perkara yang sama pada masa hadapan.
Katanya, sudah tiba JHEAINS bertindak tegas bagi memastikan agama Islam tidak dipermainkan.
“Ini bukan soal politik tetapi ini soal agama …perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.
“Sama ada sipelaku itu sekadar buat konten atau sebagainya, perkara ini perlu diberi perhatian serius …baik agama Islam atau agama lain ia bukan untuk dipermain-mainkan,” katanya lagi.
Mohd Jali berkata, tindakan sipelaku itu bukan sahaja mengelirukan tetapi boleh mengundang kemarahan.
Beliau seterusnya meminta JHEAINS membuat laporan kepada pihak berkaitan termasuklah polis agar video itu dipadam.
TAMAT
