Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Mengecat Rumah di Likas

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 31 Dis – Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja mengecat rumah di Lot 21, Fasa 3, Kampung Likas, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.03 pagi itu pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, PBK I Mohd Hasrulnizam bin Mohd Zain, berkata jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.09 pagi, kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi didapati seorang lelaki telah terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja mengecat rumah.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi melibatkan seramai 10 anggota bomba dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu EMRS serta dibantu oleh dua anggota Sabah Electricity, lima anggota PDRM dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 pagi.

TAMAT

Share This Article