FELDA JADI LOKASI TUMPUAN OP CEGAH KHAS AADK DI SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 11 SEPT – Kawasan FELDA di Sabah menjadi antara lokasi tumpuan Operasi Cegah Khas (Op Cegah Khas) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan 60 individu dikesan positif dadah di Felda Sahabat, Lahad Datu dan Felda Umas, Tawau.

Di Felda Sahabat sahaja seramai 28 individu ditahan dalam operasi yang dilaksanakan selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September lalu.

Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan serentak AADK di seluruh negara bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan bahan khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap kegiatan berkenaan.

Di Sabah, seramai 113 individu ditahan dengan 86 daripadanya merupakan individu baharu yang dikesan sepanjang operasi berkenaan.

Operasi di Sabah dilaksanakan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dengan kekuatan 46 pegawai dan anggota AADK selain tindakan turut dijalankan berdasarkan aduan serta risikan termasuk pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Tumpuan turut diberikan kepada kawasan FELDA berikutan faktor risiko penyalahgunaan dadah yang dikenal pasti memerlukan tindakan penguatkuasaan dan intervensi berterusan.

Ketua Penolong Pengarah Operasi AADK, Hamizan Haidzir turut turun padang bersama anggota dalam pelaksanaan operasi berkenaan.

Pada peringkat nasional, Op Cegah Khas dilaksanakan secara serentak selama tiga hari itu menyaksikan seramai 1,290 individu ditahan dengan 699 individu didapati positif dadah atau bahan.

Pihak AADK memaklumkan pelaksanaan operasi berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada tindakan penguatkuasaan malah turut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan mendapat akses kepada rawatan serta pemulihan yang sewajarnya.

AADK akan terus mempergiatkan usaha pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan bagi menangani penyalahgunaan dadah dan bahan demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.-kredit Media AADK

Share This Article