SANDAKAN, 8 Februari – Hampir satu juta penduduk di pesisir timur Sabah dijangka menerima manfaat hasil penambahbaikan berterusan perkhidmatan kesihatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) Sabah, Datuk Julita Majungki berkata HDOK memainkan peranan penting sebagai pusat rujukan utama serta menjadi talian hayat kepada penduduk di kawasan pesisir timur negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke hospital berkenaan pada 2 Februari lalu bagi meninjau penyampaian perkhidmatan kesihatan, kapasiti kakitangan serta pelaksanaan inisiatif pembangunan yang sedang dijalankan.
“HDOK bukan sahaja berfungsi sebagai pusat rujukan utama, malah menjadi nadi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pesisir timur Sabah. Keutamaan kami adalah memastikan perkhidmatan di sini kekal mantap, responsif dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.
HDOK berfungsi sebagai fasiliti kluster utama yang menyokong keperluan kesihatan penduduk di Sandakan serta daerah sekitar termasuk Beluran, Kinabatangan, Telupid dan Tongod dengan jumlah penduduk hampir mencecah satu juta orang.
Ketika ini hospital berkenaan menawarkan sebanyak 20 perkhidmatan kepakaran, termasuk perubatan kecemasan, pediatrik, ortopedik, psikiatri serta unit rawatan rapi (ICU), menjadikannya antara pusat rujukan terpenting di pesisir timur Sabah.
Julita turut menegaskan kepentingan pelaburan berterusan dalam infrastruktur hospital termasuk perancangan pembinaan blok baharu yang dijangka meningkatkan kapasiti hospital, menambah ratusan katil pesakit serta memperluaskan perkhidmatan kepakaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Ini adalah pelaburan untuk masa depan. Kita mahu rakyat di pesisir timur menerima penjagaan kesihatan yang sewajarnya lebih dekat dengan kediaman mereka, disokong oleh kemudahan yang lebih baik serta kepakaran yang lebih mantap,” katanya.
Menurut beliau, lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh sistem kesihatan awam, menyokong petugas barisan hadapan serta menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat Sabah yang semakin berkembang.
TAMAT
