ISTIADAT PERBARISAN HARI KEPUTERAAN RASMI TYT SABAH BERLANGSUNG PENUH ISTIADAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 30 Mac — Istiadat perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Padang Merdeka di sini, pagi tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag antara tetamu kenamaan yang hadir menyaksikan upacara berkenaan dengan ketibaan beliau sekitar jam 7.55 pagi.

Kemuncak istiadat bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman diiringi Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin pada jam 8 pagi.

Sejurus keberangkatan tiba, lagu kebangsaan Negaraku dan lagu negeri Sabah Tanah Airku dimainkan diikuti 17 das tembakan meriam sebagai tanda penghormatan rasmi kepada TYT. Tun kemudiannya menerima tabik hormat diraja sebelum memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.

Istiadat diteruskan dengan pemeriksaan kontinjen perbarisan yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.

Acara turut diserikan dengan persembahan koir dan pertunjukan kebudayaan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, sekali gus menambah kemeriahan sambutan tahunan itu.

Turut hadir memeriahkan istiadat ialah barisan anggota Kabinet Negeri dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan.

Share This Article