KOTA KINABALU, 30 Mac — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah vesel nelayan tempatan kerana menggaji kru tanpa permit sah dalam satu rondaan rutin di perairan utara Pulau Manukan, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan bot berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 12 kru termasuk nakhoda berada di atas vesel tersebut dengan lima daripadanya disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan Pas Lawatan Sosial tanpa permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa vesel berkenaan disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak mempunyai jumlah kru mencukupi seperti yang ditetapkan pihak pelabuhan.
Kesemua kru berusia antara 21 hingga 54 tahun itu merupakan warganegara Indonesia dan telah diiring ke jeti untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia turut menyita vesel berkenaan dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM2 juta.
Menurut Mohd Khairulanuar lagi, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang khususnya melibatkan kesalahan imigresen dan keselamatan pelayaran.
Beliau dalam masa sama menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut kepada pihak berkuasa bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
