PILI BOMBA TAMBAHAN UNTUK KAWASAN BERISIKO KEBAKARAN DI DUN APAS TAHUN DEPAN

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 14 November –TAWAU, 14 November – Risiko kebakaran merebak dengan pantas di kawasan perkampungan atas air dan penempatan padat di DUN Apas mendorong usaha penyediaan pili bomba tambahan tahun depan bagi memastikan sumber air lebih mudah diperoleh ketika kecemasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyediaan kemudahan itu menjadi antara agenda utamanya tahun depan khususnya di kawasan yang mempunyai kediaman dibina rapat antara satu sama lain dan berdepan kesukaran mendapatkan sumber air ketika kecemasan.

Menurutnya, ketiadaan sumber air berhampiran boleh menjejaskan usaha penduduk memadam kebakaran pada peringkat awal sekali gus meningkatkan risiko kebakaran merebak dengan pantas.

Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz serta pegawai bomba di Tawau bagi mengenal pasti lokasi strategik untuk pemasangan pili bomba berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan sebagai ADUN Apas akan dipertimbangkan bagi tujuan itu sekiranya kos pelaksanaannya bersesuaian.

Nizam berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Kempen Sehari Bersama Bomba Komuniti, Skuad Bomba, Suri dan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Kampung Inderasabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kedudukan DUN Apas yang bersempadan dengan kawasan pesisir pantai serta mempunyai banyak perkampungan atas air menjadikan aspek keselamatan kebakaran perlu diberi perhatian serius.

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) meliputi beberapa kampung, justeru pemasangan pili bomba akan memberi keutamaan kepada lokasi berisiko tinggi yang berdepan kekangan mendapatkan bekalan air.

Sementara itu Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi jabatan itu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan kebakaran dan kesiapsiagaan komuniti.

Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya hanya bergantung kepada pasukan bomba apabila berlaku kebakaran sebaliknya perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas bagi mengambil tindakan awal sementara menunggu bantuan tiba.

Katanya, program itu membabitkan 11 pasukan Bomba Komuniti dengan kekuatan keseluruhan 110 anggota dari Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Secara keseluruhan, Sabah mempunyai 493 pasukan Bomba Komuniti termasuk 11 pasukan yang menyertai program berkenaan.

Share This Article