KUALA LUMPUR — Kerajaan MADANI terus memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan pendekatan yang lebih tegas dan menyeluruh apabila sebanyak 13 tuntutan utama berjaya diselesaikan setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sipitang dalam sesi Dewan Rakyat hari ini berhubung pendekatan kerajaan dalam merealisasikan pelaksanaan MA63 yang melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, antara pencapaian utama termasuk pengiktirafan jabatan-jabatan teknikal negeri, penyerahan kuasa kawal selia tertentu kepada kerajaan negeri, pindaan Ordinan Buruh serta penambahbaikan struktur pentadbiran yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri.
Mustapha Sakmud menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaan MA63 sedang digerakkan dengan pendekatan paling berani dan agresif sejak perjanjian itu dimeterai lebih enam dekad lalu, selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang mengangkat MA63 sebagai agenda nasional.
Tambahnya, komitmen kerajaan turut diperkukuh melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada tahun 2022, yang berfungsi sebagai platform rundingan rasmi tertinggi antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan Sabah dan Sarawak bagi menyelaras dan mempercepat pelaksanaan perkara-perkara berkaitan MA63.
“Mekanisme ini membolehkan perbincangan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berfokus supaya setiap keputusan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit yang memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, MA63 merupakan asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan pelaksanaannya akan terus diberi keutamaan oleh Kerajaan MADANI.
TAMAT
