MAJLIS APRESIASI DAN IFTAR BERSAMA SAHABAT MEDIA UMS SANDAKAN 2026 (MASMUMS 2026)

sabahheadlines
2 Min Read

Sandakan, 2 Mac – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan media menerusi penganjuran Majlis Apresiasi dan Iftar Bersama Sahabat Media UMS Sandakan 2026 (MASMUMS 2026) yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan Ramadan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, JP, sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media di Sandakan atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat berkaitan universiti kepada masyarakat.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan pelbagai pencapaian universiti, khususnya melibatkan Fakulti Pertanian Lestari UMS (FPL) yang semakin menyerlah sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian mampan dan keselamatan makanan.

Menurut beliau, walaupun jumlah pengamal media di Sandakan tidak seramai di Kota Kinabalu, peranan mereka amat signifikan dalam membentuk persepsi positif masyarakat terhadap UMS Sandakan sebagai institusi yang relevan dan memberi impak kepada komuniti setempat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas profesionalisme media dalam melaporkan isu-isu melibatkan universiti, termasuk ketika berdepan cabaran seperti krisis bekalan air dan isu tular di media sosial. Pendekatan pelaporan yang berimbang dan berasaskan fakta telah membantu memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada umum.

Tambah beliau, nilai liputan media terhadap UMS dari sudut komersial dianggarkan mencecah jutaan ringgit. Namun, yang lebih bermakna ialah kepercayaan dan hubungan baik yang terjalin antara universiti dan rakan media, termasuk liputan yang diberikan tanpa sebarang tuntutan bayaran.

UMS komited untuk terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan media melalui penyampaian maklumat yang cepat, tepat dan telus, selaras dengan tanggungjawab institusi pendidikan tinggi dalam memastikan ilmu dan hasil penyelidikan sampai kepada masyarakat secara berkesan.

Majlis ini diharap menjadi platform berterusan dalam mengukuhkan jalinan kerjasama demi kemajuan pendidikan tinggi dan pembangunan negeri Sabah.

Oleh : Jalie mohamad

Share This Article