SANDAKAN, 14 NOVEMBER – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) muncul juara Sukan Kerajaan Tempatan Sabah (SKTS) Kali Ke-14 sekali gus melakar kejayaan bermakna dalam penganjuran temasya sukan itu yang turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kesukanan dalam kalangan warga kerajaan tempatan.
Kejayaan itu menyaksikan Sandakan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara daerah yang aktif dalam pembangunan sukan lebih-lebih lagi apabila bakal menjadi tuan rumah Sukan Sabah (SAGA) 2027 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 8,000 atlet dari seluruh negeri.
Majlis Perasmian Penutupan SKTS Kali Ke-14 Sandakan 2026 disempurnakan Pembantu Menteri I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan yang mewakili Menteri berkenaan, Datuk Arifin Arif, di Dewan Hakka, di sini.
Kejohanan itu menyaksikan penyertaan pelbagai pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh Sabah yang bertanding mengikut pembahagian zon.
Selain menjadi medan menguji keupayaan dan prestasi atlet, SKTS turut berperanan mengeratkan hubungan antara warga PBT memupuk semangat berpasukan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan agensi kerajaan tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson menyambut baik persiapan Sandakan sebagai tuan rumah SAGA 2027 yang dijangka menjadi antara acara sukan terbesar di Sabah tahun depan.
Beliau berkata, aspek penambahbaikan bandar akan terus diberikan perhatian khususnya melibatkan hiasan dan landskap bandar, kawasan perniagaan serta kemudahan awam bagi memastikan Sandakan berada dalam keadaan terbaik untuk menerima kehadiran atlet dan pengunjung.
Pada masa sama, penghargaan turut diberikan kepada jawatankuasa pelaksana, pihak pengurusan, pegawai, peserta, petugas serta semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran SKTS kali ini.
Kejayaan penganjuran SKTS Kali Ke-14 diharap dapat terus menyemarakkan budaya sukan, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan warga kerajaan tempatan di Sabah.
Oleh: Jalie Mohamad
