TAWAU, 31 Dis – Dua individu maut manakala tiga yang lain cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Batu 16, Jalan Apas Balung, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.26 petang, kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori lima tan, sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal.
Panggilan kecemasan diterima melalui talian balai sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Sulaiman bin Haji Salleh, berkata jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.55 petang kira-kira 28 kilometer dari balai.
“Dua mangsa yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Menurut beliau, dua lelaki yang berada di dalam lori lima tan mengalami kecederaan ringan selepas berjaya dikeluarkan oleh orang awam manakala pemandu Toyota Hilux berusia 61 tahun turut cedera ringan.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut manakala mangsa cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan.
Operasi melibatkan seramai tujuh anggota bomba dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu EMRS serta dibantu oleh enam anggota PDRM dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tiada kerja-kerja menyelamat dijalankan kerana semua mangsa telah dikeluarkan lebih awal.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
TAMAT
