KOTA KINABALU, 31 Disember — Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan melancarkan Program Latihan Kecerdasan Buatan (AI) khusus untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini pada awal tahun 2026.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkasa keupayaan digital serta meningkatkan daya saing usahawan PMKS seiring perkembangan teknologi semasa.
Menurut beliau, program berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara MINDET dan Pepper Labs, susulan pertemuan bersama delegasi syarikat itu yang diketuai Pengarah Urusannya, Thanaselan Rajendran.
“Saya menghargai cadangan kerjasama strategik antara Pepper Labs dan MINDET Sabah bagi menjayakan Program AI untuk usahawan PMKS di Sabah.
“Inisiatif ini akan dilancarkan pada awal tahun depan supaya usahawan kita dapat membudayakan penggunaan teknologi AI dalam operasi dan pengurusan perusahaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pepper Labs di pejabatnya di Wisma Kewangan, di sini, hari ini.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Pepper Labs kerana memilih Parlimen Penampang sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif perusahaan sosial yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.
“Saya akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan PMKS, termasuk usahawan perusahaan sosial (SE) dan perniagaan inklusif (IB) di Sabah,” katanya.
TAMAT
