ANIL SANDHU TIDAK BERNIAT TANDING PARLIMEN LAHAD DATU, MAHU TUMPU PEMBANGUNAN KUNAK

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 20 JUN– Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu menepis spekulasi yang mengaitkan beliau sebagai calon berpotensi bagi kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebaliknya menegaskan keutamaannya ketika ini adalah meneruskan agenda pembangunan di daerah Kunak.

Meskipun menerima pelbagai cadangan dan sokongan daripada masyarakat agar bertanding di kerusi berkenaan, beliau memilih untuk kekal memberi tumpuan kepada amanah dan tanggungjawab yang dipikul ketika ini demi memastikan pembangunan di kawasan tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan.

​”Umpama pepatah dulu-dulu, kalau kita pakai baju tu, kita ukur dulu di badan sendiri. Jangan pakai baju terlalu besar. Setakat hari ini, saya tidak berniat untuk bertanding di Parlimen Lahad Datu. Fokus saya adalah untuk membangunkan daerah Kunak,” katanya.

​Namun begitu, Dr. Anil berseloroh bahawa beliau sedia menggalas tanggungjawab besar jika diberikan peranan di belakang tabir.

​”Kalau dibahagi untuk jadi Pengarah Pilihan Raya, I will go all out. Saya akan pastikan kita boleh menang balik di Tungku, KUNAK dan juga Segama,” tambah beliau lagi.

​Dalam pada itu beliau yang juga ADUN Kunak itu menyatakan komitmennya untuk menyokong penuh sesiapa sahaja calon yang bakal diketengahkan oleh gabungan kerajaan negeri sama ada daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun Barisan Nasional (BN).

​Beliau berharap pucuk pimpinan memilih calon anak jati tempatan yang berwibawa dan benar-benar komited untuk membawa pembangunan memandangkan beberapa kawasan DUN seperti Kunak dan Tungku masih jauh ketinggalan berbanding kemajuan di bandar Lahad Datu.

​Terdahulu Dr Anil menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Badminton MK & Jemputan 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, Pada Jumaat.

​Kejohanan anjuran Kelab Badminton MK selama tiga hari itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti sukan setempat.

Beliau berharap penganjuran sukan seperti ini dapat melahirkan lebih banyak pelapis dan atlet berbakat dari daerah Lahad Datu.

​Ketika ditanya mengenai usaha mencungkil bakat sukan di Sabah yang dikatakan masih kurang, Dr. Anil memberi jaminan bahawa pihak kementeriannya kini sedang bekerja keras memberikan fokus kepada pelbagai jenis sukan.

​Malah menteri dan seluruh warga kementeriannya telah meletakkan sasaran pingat yang tinggi untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang yang bakal berlangsung di Selangor.

Share This Article