SEMPORNA, 18 JUN – Seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras di perairan barat Pulau Kalapuan, dekat sini, semalam.
Tangkapan dilakukan oleh anggota Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi (Op Taring ESSZONE dan Op Taring Alpha) yang dijalankan bersama agensi penguatkuasaan berkaitan.
Hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot yang mencurigakan kira-kira jam 7.30 pagi mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Pemeriksaan lanjut menemukan dua kotak besar berisi rokok kretek dan minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai tidak melalui pemeriksaan kastam.
Turut dirampas sebuah bot kayu, enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda, tong minyak serta anak kunci bot. Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM103,150.
Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.
Operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak PGA dan agensi berkaitan dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin di kawasan ESSZONE.
